RAJA BERPELEMBAGAAN
Wednesday, December 30, 2009 @ 10:17 AM | 0 Comment [s]
![]() Laporan Suruhanjaya Reid diterbitkan pada Februari 1957 dan Parlimen British menerima cadangan itu pada Mei 1957. Ia kemudiannya disahkan Majlis Perundangan Persekutuan Tanah Melayu pada 17 Ogos 1957. Sebenarnya, idea Raja Berperlembagaan yang berasaskan perlembagaan Barat mula bertapak di Johor apabila Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor diperkenalkan oleh Sultan Abu Bakar pada 1895. Undang-undang terbabit menyerap unsur demokrasi dan sistem Raja Berperlembagaan. Misalnya, dalam aspek pentadbiran negeri, Raja dibantu oleh sebuah Majlis Mesyuarat Kerajaan yang menyerupai Parlimen. Majlis Mesyuarat Kerajaan terdiri daripada Majlis Negeri dan Jemaah Menteri. Untuk memastikan kedudukan Raja menjadi lebih mantap dan dihormati, maka pada 18 Januari 1993 kerajaan meminda Perlembagaan Persekutuan berhubung kekebalan (immunity) Raja-Raja kerana pengecualian Raja-Raja daripada tindakan undang-undang tidak lagi dilihat selari dengan perubahan zaman. Justeru, kefahaman rakyat terhadap Raja Berperlembagaan mestilah jelas. Anggapan bahawa peranan Raja hanya bersifat 'ceremonial' atau sebagai simbol untuk keraian semata-mata adalah tersasar daripada peranannya yang sebenar. Peranan institusi Raja di negara kita jauh berbeza dengan Raja di England apabila fungsi Queen adalah sepenuhnya berbentuk 'ceremonial'. Di sisi yang lain pula, Raja kita berbeza dengan kedudukan Raja di Arab Saudi iaitu Raja di negeri terbabit memiliki kuasa eksekutif dan kuasa mutlak yang tidak boleh dipersoalkan langsung. Di negara kita, Raja mempunyai kuasa tersendiri mengikut peruntukan Perlembagaan tetapi menjalankan tugas serta mengambil tindakan di atas nasihat Perdana Menteri (Menteri Besar untuk negeri). Artikel 38 (4) jelas menyatakan bahawa keistimewaan dan kedudukan Raja tidak boleh disentuh oleh mana-mana undang-undang kecuali dengan persetujuan Majlis Raja-Raja. Sultan dan Raja bukan ahli politik yang sentiasa menonjol diri di pentas politik. Namun, dalam sejarah tanah air, institusi Raja memainkan peranan cukup penting dalam mempertahankan hak dan kedudukan orang Melayu. |
![]() ![]() |